Khamis, 1 November 2012

Novel bersiri cikgu rania 2 (siri 17)



Cikgu Rania 2 (Siri 17): Tangisan dalam tawa

Oleh Samsiah Mohd Nor

DARI jarak 10 meter dari kedudukan Puan Sri Zalia, Rania hanya mampu berdoa dan memerhati dari jauh. Bimbangnya usah dikata. Hatinya tertanya-tanya.
Sudah tahukah mama tentang kewujudan perempuan muda itu? Bagaimana mama dapat tahu? Dan kenapa pula Datin Latifah ada bersama mama? Mungkinkah Datin Latifah tahu sesuatu dan menyampaikan pula pada mama? Soalan-soalan itu tidak mampu dijawab. Sambil melayan para tetamu yang masih bersisa, perasaan Rania berkecamuk.
Dia risau akan beberapa kemungkinan. Takut benar kalau-kalau ibunya hilang waras dan menyerang perempuan muda misteri itu namun semua yang ada di bayangannya tidak berlaku.

Dalam debar yang melanda, tangan Ummar Qayyum kejap dalam genggamannya.

Menyedari Rania berada dalam situasi yang dia sendiri tidak faham, Ummar Qayyum membiarkan sahaja sehinggalah akhirnya Rania melurut dada tanda syukur. Bersama ibunya dan Datin Latifah, ada ayahnya sekali yang baru muncul antara mereka bertiga. Rania nampak ayahnya memaut bahu ibu.

“Abang terlepas sesuatu ke?” bisik Ummar Qayyum di telinganya apabila wajah pucat Rania kembali normal. Rania pandang sekeliling.

“Nasib baik tetamu dah tak ramai. Kalau tidak ramai yang perasan apa yang berlaku.”

Itu pula yang dikhabarkan Rania. Soalan Ummar Qayyum tidak berjawab. Dalam hati dia masih tertanya-tanya siapakah gerangan perempuan muda itu.

“Dari tadi abang perasan ada sesuatu yang tak kena dengan sayang ni. Apa dia sayang?”

Sabar sekali Ummar Qayyum menghadapi kerenah dan tingkah aneh Rania. Tepi kepalanya digaru-garu. Sungguh dia tidak mengerti.

“Ada sesuatu yang berlaku. Ayang saja yang tahu,” jelas Rania.

“Yalah, apa yang berlaku?” Entah untuk kali ke berapa soalan itu diajukan di telinga Rania.

Sepintas lalu Rania ceritakan apa yang diketahui dan apa yang berlaku sebentar tadi.

“Ni dah kali ketiga ayang nampak dia. Ren rasa mama pun macam dah tahu sesuatu. Ren takut mama serang dia,” jelas Rania.

Ada masa Rania membahasakan dirinya sebagai ayang, ada tikanya sebagai Ren sahaja.

“Ya ke? Mana orang nak perasan, elok saja mereka berbincang tu,” sanggah Ummar Qayyum seraya memandang ke arah orang bertiga itu.

Selesai Ummar Qayyum berkata demikian, kelihatan perempuan misteri itu bangkit dan seketika kemudian dia meninggalkan majlis.

Tan Sri Razlan turut beredar manakala ibunya dengan Datin Latifah masih kekal di tempat yang sama.

“Siapa agaknya perempuan muda tu ya?” tanya Ummar Qayyum.

Langkah laju perempuan muda itu diekori mata Ummar Qayyum.

“Entahlah, tapi Ren yakin perempuan tu mesti ada hubungan yang rapat dengan ayah. Mesti ada sesuatu yang kami tak tahu,” sahut Rania.

Ditoleh ke arah ibu sekali lagi. Wajah emaknya serius sekali. Perasaan Rania kembali berdebar-debar. Entah kenapa kedatangan perempuan muda itu kali ini membuatkan Rania diserang perasaan yang tidak tenteram. Adakah kerana perempuan itu didekati ibunya?

“Dah. Tak usah fikir yang bukan-bukan. Ni hari bersejarah kita. Elok kalau sayang ketepikan dulu hal itu. Jangan sampai tetamu kita perasan apa yang berlaku,” pujuk Ummar Qayyum. Dia tidak mahu menambahkan beban di fikiran Rania dengan perkara-perkara yang tidak diketahui pucuk pangkalnya.

“Ren teringin sangat nak tahu siapa perempuan muda itu. Perempuan ni macam kabus. Pergi datang pergi datang sesuka hatinya saja.” Keluh-kesah Rania berbunyi lagi. Ummar Qayyum tersenyum.

Muka masam Rania ditatapnya. Itulah indahnya Rania. Pandai mengata perempuan itu seperti kabus padahal dirinya sendiri pun tak ubah seperti kabus. Dan aku hampir-hampir kehilangan wanita yang bendul ini! Fikirnya.

“Kenapa you senyum seorang. Mesti you mengata I kan?” tuduh Rania.

“Tengok tu dah banyak kali pesan jangan guna perkataan I dengan you, dia guna juga.”

Rania tergelak. “Proses transformasi ambil masa tau!”. Bijak pula dia memberi alasan. Para tetamu makin menyusut apabila petang kian melabuhkan tirainya.
Pekerja-pekerja daripada BAEM Caterer sibuk mengemas gelas, pinggan dan kerusi meja.

Sebelum jam enam petang, halaman rumah mewah keluarga Tan Sri Razlan sudah kembali kemas dan tenang seperti sebelumnya. Tan Sri Razlan masih berada di beranda bersendirian tapi kelibat Puan Sri Zalia tidak kelihatan.

Adik-beradik Rania yang lain bersidai kepenatan di ruang tamu. Redwan sudah tergolek tidur di atas permaidani manakala Rais bersantai sambil menonton televisyen. Murni tidak kelihatan. Anak-anak Rindu diarahkan mandi oleh Iskandar sedang Rindu pula mengemas-ngemas kusyen yang bertaburan di lantai.
Rania bersama Ummar Qayyum telah dipesan oleh Rindu supaya berkumpul di ruang tamu utama untuk acara buka hadiah selepas waktu Isyak.

“Ren dengan Qayyum jangan lambat-lambat turun nanti tau,” usik Rindu semasa pasangan pengantin baru itu beriringan menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Sebelum azan Maghrib bergema, Rania bersama Ummar Qayyum sudah siap duduk di atas sejadah masing-masing di dalam kamar mereka. Untuk kali ketiga mereka solat berjemaah bersama-sama. Malam itu mereka dapat bersolat jemaah waktu Maghrib dalam suasana yang lebih tenteram dan tidak terkejar-kejar seperti siang tadi.

Selesai solat Maghrib, mereka berwirid bersama-sama dan menyambung dengan solat sunat hajat. Seusai doa dibaca dan diaminkan, Ummar Qayyum memusingkan tubuhnya menghadap Rania. Hatinya berbunga cinta melihat wajah redup isteri dalam telekung putih. Rania menyalami tangan Ummar Qayyum. Dahi Rania dicium Ummar Qayyum. Seketika kemudian tubuh Rania sudah berada dalam pelukan Ummar Qayyum. Rania membatukan diri.

Jantungnya berdebar kencang. Dia berasa cemas. Pelukan dilepaskan. Ummar Qayyum menatap muka bujur telur Rania.

“Baru sekarang abang dapat tengok muka isteri abang puas-puas.”

Helaan nafas Ummar Qayyum membuatkan jantung Rania berdegup tiga kali laju daripada kebiasaan. Kerana tidak tentu arah, dia melepaskan diri dan bangun.

“Nak pergi mana tu?” tanya Ummar Qayyum bila melihat Rania yang tiba-tiba kelam-kabut.

Dia masih bersila di sejadah. Hendak tergelak apabila dia menyedari Rania menggelabah.

“Nak buka telekung,” sahut Rania.

“Kan nanti nak solat Isyak, tak payahlah buka,” kata Ummar Qayyum tapi tidak diendahkan Rania.

Ummar Qayyum memerhatikan sahaja gelagat Rania. Dari tempat mereka berjemaah, Rania menuju ke ruangan yang agak terpencil. Ruangan itu dikhaskan untuk menyidai tuala atau menyangkut apa-apa pakaian. Bilik yang besar dan selesa itu dibahagikan kepada beberapa ruangan.

“Lepas buka telekung duduk sini balik ya,” jerit Ummar Qayyum sengaja hendak menyakat Rania.

Degup kencang jantung Rania seperti tiada noktahnya. Dalam kebingungan, dia membuka telekung. Debar yang menggunung sukar benar hendak dikuis. Entah mengapa malam itu, dia berasa gerun berdua-duaan dengan Ummar Qayyum di dalam kamar yang sunyi sepi seperti itu.

Semasa mereka bersolat berjemaah bersama-sama siang tadi, perasaan sebegini tidak pula muncul. Kenapa sekarang pantai hatinya bergelora dengan rentak yang aneh sekali? Kerana tidak keruan Rania bersembunyi seketika di sebalik dinding tempat dia menukar pakaian.

“Sayang...”

Panggilan daripada Ummar Qayyum menyebabkan Rania cepat-cepat mengenakan pakaian tidur yang biasa dipakai. Baju tidur yang dibeli khas untuk malam pengantin masih tergantung di dalam kabinet.

“Sayang...”

Mendengar panggilan kali kedua baru Rania bergerak. Dia tidak menghampiri Ummar Qayyum tetapi menuju ke ruangan yang menempatkan sebuah sofa tiga dudukan berjenama Fella Design bercorak bunga ros.

Rania duduk sopan di atas sofa panjang. Di sebelah sofa itu, ada sebuah kerusi berlengan. Katil bersaiz king yang bercadar indah dan mewah pula terletak tidak jauh dari situ.

Dari sejadah, Ummar Qayyum bangun dan bercadang hendak duduk di sebelah isterinya. Belum sempat duduk, dia disergah si isteri.

“Kenapa you duduk kat sini? Pergilah duduk kat kerusi tu.” Mulut Rania menghala ke kerusi berlengan.

Tanpa banyak kerenah Ummar Qayyum menurut arahan Rania.

“Buatkan abang Nescafe panas boleh?” Kali ini Ummar Qayyum pula mengarah.
Rania bangun dan bergegas turun ke bawah. Dapur sunyi sepi tanpa penghuni.
Makcik Rohaya sudah tentu sedang berwirid selepas Maghrib, fikir Rania. Selepas membancuh Nescafe, Rania naik semula ke atas.

Ummar Qayyum sedang menikmati langit malam dari jendela yang terbuka semasa Rania masuk semula ke kamar. Di dada langit bintang-bintang bertebaran.
Seketika, Rania mencuri lihat Ummar Qayyum dari arah belakang. Lelaki itu nampak tegap dengan baju Melayu warna coklat dipadankan dengan kain pelikat berkotak campuran warna kelabu, coklat dan hitam. Kopiah putih di kepalanya belum ditanggalkan. Rania pandang pakaian yang melekat di tubuhnya.

Pelik pula aku pakai macam ni. Entah apa Ummar Qayyum fikir tentang aku, fikirnya lagi tapi segera dinyahkan perasaan yang tidak enak itu.

“Qayyum, ni Nescafe you,” katanya kemudian.

Ummar Qayyum memusingkan tubuh seraya berpaling padanya. Sambil berpeluk tubuh, Ummar Qayyum merenung wajah lembut isteri yang berdiri tercegat di sisi meja kecil tempat cawan diletakkan. Sekali lagi Rania menggelabah. Rania dipanggil Ummar Qayyum mendekatinya dengan bahasa isyarat tetapi Rania tidak bergerak.

“Kalau sayang tak datang ke sini, abang pergi situ,” ugut Ummar Qayyum.

Kali ini Rania akur. Dia berlagak tenang. Hampir pada lelaki itu, tubuh Rania dipaut lembut.

“Sayang sekarang isteri abang...” Matanya merenung tajam ke mata Rania.
“Sayang tak perlu malu.”

Rania mengetap bibirnya.

“Gemuruh?” tanya Ummar Qayyum.

Rania angguk perlahan.

“Bukan malam ni saja sayang dengan abang, insya-Allah kita akan bersama selamanya. Jadi, sayang tak payah takut atau bimbang,” pujukan lembut Ummar Qayyum ternyata berhasil membuatkan Rania tenang.

Ummar Qayyum memaut tubuh Rania lalu menghalakan pandangannya ke arah langit.
Kedua-dua tangannya dililit di sekitar pinggang Rania manakala dagunya ditampung ke bahu Rania.

“Tengok langit yang penuh bintang tu,” arahnya.

Langit indah ditatap Rania. Tiba-tiba dia ikut saja arahan Ummar Qayyum tanpa bantahan.

“Bersaksikan langit dan bintang serta malam ciptaan Allah ini, abang nak sayang lafazkan pada abang bahawa sayang cintakan abang. Dan mula pupukkan rasa cinta itu dengan memanggil suami sayang dengan panggilan abang, boleh?” Di tepi telinga Rania, Ummar Qayyum berbisik.

Malunya Rania bukan kepalang. Sejak siang tadi mulutnya memang tidak masuk ajar. Asyik terlepas bahasa sahaja. Suaranya tenggelam tetapi dengusnya yang kedengaran.

“Bisikkan panggilan itu sekarang, boleh?” rayu Ummar Qayyum.

Suaranya romantik. Bulu roma Rania menegak.

“Ren malulah.”

“Nak malu apa? Sayangkan dah jadi isteri abang.”

Lingkaran tangan Ummar Qayyum di pinggang Rania makin rapat. Lama-lama hilang rasa segan dan malu yang bertakung di hati Rania. Mereka bersidai dan berbual mesra di tepi jendela. Masuk waktu Isyak, mereka berwuduk dan sekali lagi bersolat Isyak berjemaah. Semasa mereka turun ke bawah, semua adik-beradik sudah berkumpul.

“Dah pesan suruh turun cepat, lambat juga.” Usikan Rindu menyambut pasangan mempelai itu. Rania duduk di sebelah Ummar Qayyum. Ayah dan emaknya tiada bersama.

“Mama dengan ayah mana?” tanya Rania.

“Ren pergi panggil,” arah Rindu.

Selepas tiga kali ketukan bergema di pintu bilik tidur ibu bapanya, barulah tombol pintu bilik dipulas dari dalam.

“Kak Rindu panggil mama dengan ayah join kami,” ujar Rania kepada ayahnya yang masih berkopiah di kepala.

Dijengah ke dalam bilik, ibunya masih dalam telekung dan duduk di atas sejadah.

“Mulakan dulu, nanti ayah dengan mama datang kemudian,” sahut Tan Sri Razlan.

“Okey,” sahut Rania. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Tan Sri Razlan menghampiri isterinya semula. Perbualan mereka tadi tergendala sebentar dek kehadiran Rania.

“Abang masih nak berdolak-dalik macam perempuan tadi?” soal Puan Sri Zalia.

Itu soalannya yang terputus tadi. Sekarang dia mahu suaminya berterus-terang.
Sejak siang tadi perasaannya kucar-kacir dek kehadiran perempuan muda itu. Dan sejak siang, soalan yang meruntun-runtun di kepalanya masih tidak berjawab.
Bukan selama ini dia tidak pernah mendengar desas-desus tentang cerita
suaminya. Dia dengar tetapi malas diendahkan sangat meskipun Datin Latifah sendiri pernah menelefonnya di Langkawi dulu menyatakan sesuatu yang membuatkan fikirannya kusut.

Tapi dijeruk-jeruk di dalam hati kerana sibuk dengan urusan pernikahan Rania.
Tadi, bila perempuan yang dikata oleh Datin Latifah tiba-tiba muncul di majlis Rania, dia berasa terhina, marah dan terancam. Kerana mahu tahu akan kebenaran,dengan ramah-tamah dia menemuramah perempuan muda itu tapi ketara
tetamu yang tidak dikenali itu banyak berdolak-dalik.

Demi menjaga majlis Rania, ditahankan perasaannya yang bergelora itu tambahan pula suaminya muncul mendadak dan menyelamatkan situasi. Sekarang, tibalah masa untuk suaminya bercerita yang sebenar-benarnya. Kerana terus diasak, akhirnya Tan Sri Razlan mengalah. Dia berterus terang tentang status perempuan muda misteri yang bernama Zara Aliya tersebut.

“Anak abang?” Terbuntang biji mata Puan Sri Zalia sebaik sahaja mendengar keterangan tersebut.

“Anak abang yang mana? Sejak bila abang ada anak tu?” Berpinar-pinar mata Puan Sri Zalia dek terkejut dan tidak percaya.

Tubuhnya kelihatan turun naik dengan nafas yang tersekat-sekat.

Sungguh tidak diduga akan berita yang baru didengarinya itu. Bermakna benarlah telahan Datin Latifah selama ini. Cuma dia sahaja yang berterusan menafikan.

Tan Sri Razlan memaut bahu isterinya. Rasa bersalah menunda-nunda tangkai hati. Tangannya ditepis Puan Sri Zalia. Kerana dipaksa, dia membongkar rahsia yang selama ini tersimpan kemas. Dia berkahwin dengan ibu Zara Aliya, iaitu Maria Josh Abdullah yang berasal dari Filipina 12 tahun selepas perkahwinannya dengan Puan Sri Zalia.

Zara Aliya dilahirkan dua tahun selepas kelahiran Rania. Dua tahun lepas, ibu Zara Aliya meninggal dunia. Sejak itu tanggungjawab menjaga Zara Aliya terletak di bahunya. Menurut Tan Sri Razlan, dia perlu meluangkan sebahagian masa dengan anak gadis yang kini sebatang kara. Kerana itu, di beberapa majlis yang berlangsung di rumah, Zara Aliya sentiasa ada bersama.

“Tergamak abang buat macam ni pada saya.” Di birai katil Puan Sri Zalia meninggikan suara.

Hancur luluh hatinya. Jiwanya kacau dan tidak menentu. Ada tikanya dia teresak-esak, ada tikanya dia menahan nafasnya yang dirasakan pendek-pendek.

Bagai tidak percaya suaminya sanggup menipu dan menduakannya sekian lama, Puan Sri Zalia memegang dadanya yang terasa ketat.

Melihat isterinya yang seperti sesak nafas, Tan Sri Razlan membantunya berbaring. Puan Sri Zalia melarikan wajahnya daripada dipandangi si suami.
Soalan-soalan yang ditanyakan suaminya tidak dijawab. Dia tidak mampu untuk berpura-pura.

“Lia nak baring di sini?” soal Tan Sri Razlan lagi.

Puan Sri Zalia membatukan diri.

“Anak menantu dan cucu-cucu tunggu kita di luar,” ujar Tan Sri Razlan lagi.

Puan Sri Zalia memusingkan tubuhnya. Boleh lagi tukar topik setelah hati aku disiat-siatnya. Air matanya makin laju membasahi pipi. Dia mahu berehat dan bersendirian menenangkan jiwa yang gundah gulana itu. Dua tidak mahu keluar dan menyaingi sanak-saudara di ruang tamu.

Dia tidak mampu untuk berhadapan dengan anak, menantu dan cucu-cucu yang sedang riuh-rendah di luar. Meskipun dia sedar bahawa acara membuka hadiah sedang berlangsung tapi dia tidak peduli. Biarlah aku sendiri di sini! Detik hatinya.

Siang tadi keinginannya meronta-ronta untuk bersama Rania dan Ummar Qayyum membuka hadiah yang diberikan oleh para tetamu tetapi malam ini harapannya musnah. Impiannya berkecai. Hilang perasaan girang yang dialami siang tadi bagai dikaup garuda.

“Abang minta maaf,” ucap suaminya sebelum pergi.

Pintu bilik ditutup. Tan Sri Razlan bersandar di pintu kamar seketika.
Perasaan bersalahnya tidak dapat dibendung. Tenang sedikit, dia bergerak menghala ke ruang tamu tempat anak cucu berkumpul.

Wajah Rania riang sekali. Ummar Qayyum sentiasa berada di sisinya. Sambil melayangkan ingatan ke kenangan silam, Tan Sri Razlan duduk di sebuah kerusi jati tidak jauh dari tempat sanak-saudara berkumpul.

Wajah Rania tak jauh beza dengan raut ibunya masa muda. Zalia, perempuan pertama yang berjaya mencuri hatinya. Tapi bagaimana hatinya boleh terpaut pula pada Maria Josh, wanita Filipina yang beragama Kristian itu? Wanita berdarah kacukan Filipina Sepanyol itu ditemukan semasa dia menjadi pegawai kedutaan di United Kingdom. Perkenalan selama setahun akhirnya membuatkan Maria memeluk agama Islam dan kemudiannya disunting menjadi isteri.

Tiada seorang manusia pun yang mengetahui bahawa dia berkahwin dua. Selama ini rahsia itu terkatup kemas tetapi sebaik sahaja Maria meninggal dunia, tugas menjaga satu-satunya anak mereka berpindah padanya. Saat itu dia dapat merasakan bahawa gerak langkahnya tidak sebebas dahulu lagi. Zara Aliya sentiasa mahu ditemani setelah ketiadaan ibu. Kuala lumpur sebesar mana?

Dia yakin ada antara kawan-kawan isterinya yang ternampak kalau dia bersama Zara Aliya. Kerana itu dia tidak terkejut apabila Puan Sri Zalia bersemuka dengan Zara Aliya dan bertanya macam-macam soalan kepadanya tadi. Dia yakin isterinya sudah pun mendengar desas-desus tentang kewujudan Zara Aliya. Tan Sri Razlan tidak senang duduk. Dia kasihkan keluarganya tapi bagaimana pula dengan Zara Aliya? Dia tidak ada pilihan. Zara Aliya tetap darah dagingnya dan akan sentiasa menjadi anaknya. Mereka harus menerima Zara Aliya.

“Mama mana ayah?” Suara Rania perlahan sahaja hinggap di tepi telinganya.

Tan Sri Razlan tersedar daripada khayalan. Dagu Rania sudah bertenggek di tepi bahu kanannya. Diusap kepala si anak.

“Mama dalam bilik. Mama tak sihat, penat agaknya,” ujar Tan Sri Razlan.

Tidak sedap hati Rania mendengarnya.

“Nak tengok mama kejap,” kata Rania.

“Mama tidur. Biarlah mama rehat dulu,” kata-kata ayahnya mendatangkan curiga di benak Rania. Sejak bila mama tak berminat nak menyertai aktiviti kekeluargaan?

“Nak tengok mama juga.” Rania terus bangkit. Dia berlari-lari menuju ke bilik maknya.

Tanpa mengetuk pintu, Rania terus menerjah masuk ke dalam bilik emaknya. Tubuh emaknya berbungkus kemas dalam selimut di dalam bilik yang sejuknya menyengat. Rania pegang kepala emaknya.

“Mama...” panggilnya tapi telinganya mengesan bunyi esak kecil. Puan Sri Zalia berpaling.

Wajah emaknya tidak keruan. Air muka rusuh, rambut berselirat dan kesan-kesan air mata bersisa di wajah. Rania duduk di sisinya.

“Mama, kenapa ni?” soalnya perlahan tapi dia sudah dapat menduga bahawa ada sesuatu yang baru diketahui oleh ibunya. Dia teringat perempuan muda misteri itu.

Dengan susah payah, Puan Sri Zalia mendudukkan dirinya dibantu Rania.

“Orang lain kat depan semua?” soal ibunya yang cuba berlagak tenang. Rania angguk. Tiba-tiba Puan Sri Zalia terjebik.

“Kenapa mama?”

Keluhan berat kedengaran. Puan Sri Zalia mengambil nafas agak lama sebelum dia menuturkan sesuatu.

“Ayah kamu.”

Sebaik sahaja ungkapan ‘ayah kamu’ terletus daripada bibir emaknya, sudah dapat diramal Rania faktor yang membuatkan ibunya sedang berduka lara itu.

“Ayah buat apa?” Perlahan Rania bertanya.

“Dia pernah ada isteri kedua,” ucap emaknya lagi.

Dia menelan air liur yang terasa kelat di kerongkong. Rania menunggu cerita seterusnya daripada ibu.

“Tapi dah mati pun.” Kesat kata-kata ibu membuatkan Rania terkedu.

Melihat Rania hanya membisu tanpa reaksi yang diramal, Puan Sri Zalia menjadi curiga.

“Ren macam dah tahu saja,” serkapnya.

“Ren tak tahu apa cerita di sebaliknya tapi Ren pernah ternampak ayah dengan seorang perempuan muda masa kita kat Pavilion dulu.”

“Kenapa Ren tak beritahu mama?” Bulat mata Puan Sri Zalia merenung Rania.

“Cakap pun tak guna. Nanti mama jadi macam sekarang,” sahut Rania selamba.
Puan Sri Zalia mengeluh payah.

“Agaknya budak yang Ren nampak dengan ayah tu perempuan muda yang tadi kot.”

Rania angguk. “Siapa perempuan tu mama?”

“Tu anak ayah dengan bini dia yang mati tu.” Sekali lagi ungkapan kasar kedengaran dari mulut Puan Sri Zalia.

“Anak ayah?” Kali ini Rania pula terkesima.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ukraine Investment Company

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 

site analysis
Design by MFR Studio | Edited by fakhrurrozi - MFR | Company