Selasa, 25 Disember 2012

Dividen ASB 2012



KUALA LUMPUR: Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen ASB 2012 7.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2012 berbanding 7.65 sen tahun 2011. Sejumlah 7.82 juta pemegang unit, yang kini memiliki sejumlah 110.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus ASB 2012 sebanyak 1.15 sen seunit.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata bahagian agihan pendapatan membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM8.13 bilion manakala bayaran bonus sebanyak RM712.21 juta.
“Malah, ia adalah pembayaran tertinggi sejak lima tahun lalu iaitu mulai 2008 hingga 2012, tujuh sen pada 2008, 7.30 sen pada 2009 dan 7.50 sen pada 2010,” katanya kepada pemberita pada pengumuman agihan pendapatan ASB di sini hari ini.
Sehingga Rabu lalu, beliau berkata skim itu mencatat pendapatan kasar sebanyak RM8.54 bilion. [Sumber :  BERNAMA]

Jumaat, 23 November 2012

HARGA TIKET LEGOLAND MALAYSIA




Ticket
Reg. price
1-Day Ticket Adult (12-59)RM 140
1-Day Ticket Child (3-11)RM 110
1-Day Ticket Senior (60+)RM 110

*Promotional day ticket and annual pass can now be purchased at the following venues:

MATTA FAIR KL, PWTC: 7th September - 9th September 2012, 10.00am - 9.00pm.

Iskandar Malaysia Information Centre (IMIC), Danga Bay*: Every Saturday and Sunday from 2pm - 7pm (starting 28th April 2012 onwards).

Khamis, 1 November 2012

Novel bersiri cikgu rania 2 (siri 17)



Cikgu Rania 2 (Siri 17): Tangisan dalam tawa

Oleh Samsiah Mohd Nor

DARI jarak 10 meter dari kedudukan Puan Sri Zalia, Rania hanya mampu berdoa dan memerhati dari jauh. Bimbangnya usah dikata. Hatinya tertanya-tanya.
Sudah tahukah mama tentang kewujudan perempuan muda itu? Bagaimana mama dapat tahu? Dan kenapa pula Datin Latifah ada bersama mama? Mungkinkah Datin Latifah tahu sesuatu dan menyampaikan pula pada mama? Soalan-soalan itu tidak mampu dijawab. Sambil melayan para tetamu yang masih bersisa, perasaan Rania berkecamuk.
Dia risau akan beberapa kemungkinan. Takut benar kalau-kalau ibunya hilang waras dan menyerang perempuan muda misteri itu namun semua yang ada di bayangannya tidak berlaku.

Dalam debar yang melanda, tangan Ummar Qayyum kejap dalam genggamannya.

Menyedari Rania berada dalam situasi yang dia sendiri tidak faham, Ummar Qayyum membiarkan sahaja sehinggalah akhirnya Rania melurut dada tanda syukur. Bersama ibunya dan Datin Latifah, ada ayahnya sekali yang baru muncul antara mereka bertiga. Rania nampak ayahnya memaut bahu ibu.

“Abang terlepas sesuatu ke?” bisik Ummar Qayyum di telinganya apabila wajah pucat Rania kembali normal. Rania pandang sekeliling.

“Nasib baik tetamu dah tak ramai. Kalau tidak ramai yang perasan apa yang berlaku.”

Itu pula yang dikhabarkan Rania. Soalan Ummar Qayyum tidak berjawab. Dalam hati dia masih tertanya-tanya siapakah gerangan perempuan muda itu.

“Dari tadi abang perasan ada sesuatu yang tak kena dengan sayang ni. Apa dia sayang?”

Sabar sekali Ummar Qayyum menghadapi kerenah dan tingkah aneh Rania. Tepi kepalanya digaru-garu. Sungguh dia tidak mengerti.

“Ada sesuatu yang berlaku. Ayang saja yang tahu,” jelas Rania.

“Yalah, apa yang berlaku?” Entah untuk kali ke berapa soalan itu diajukan di telinga Rania.

Sepintas lalu Rania ceritakan apa yang diketahui dan apa yang berlaku sebentar tadi.

“Ni dah kali ketiga ayang nampak dia. Ren rasa mama pun macam dah tahu sesuatu. Ren takut mama serang dia,” jelas Rania.

Ada masa Rania membahasakan dirinya sebagai ayang, ada tikanya sebagai Ren sahaja.

“Ya ke? Mana orang nak perasan, elok saja mereka berbincang tu,” sanggah Ummar Qayyum seraya memandang ke arah orang bertiga itu.

Selesai Ummar Qayyum berkata demikian, kelihatan perempuan misteri itu bangkit dan seketika kemudian dia meninggalkan majlis.

Tan Sri Razlan turut beredar manakala ibunya dengan Datin Latifah masih kekal di tempat yang sama.

“Siapa agaknya perempuan muda tu ya?” tanya Ummar Qayyum.

Langkah laju perempuan muda itu diekori mata Ummar Qayyum.

“Entahlah, tapi Ren yakin perempuan tu mesti ada hubungan yang rapat dengan ayah. Mesti ada sesuatu yang kami tak tahu,” sahut Rania.

Ditoleh ke arah ibu sekali lagi. Wajah emaknya serius sekali. Perasaan Rania kembali berdebar-debar. Entah kenapa kedatangan perempuan muda itu kali ini membuatkan Rania diserang perasaan yang tidak tenteram. Adakah kerana perempuan itu didekati ibunya?

“Dah. Tak usah fikir yang bukan-bukan. Ni hari bersejarah kita. Elok kalau sayang ketepikan dulu hal itu. Jangan sampai tetamu kita perasan apa yang berlaku,” pujuk Ummar Qayyum. Dia tidak mahu menambahkan beban di fikiran Rania dengan perkara-perkara yang tidak diketahui pucuk pangkalnya.

“Ren teringin sangat nak tahu siapa perempuan muda itu. Perempuan ni macam kabus. Pergi datang pergi datang sesuka hatinya saja.” Keluh-kesah Rania berbunyi lagi. Ummar Qayyum tersenyum.

Muka masam Rania ditatapnya. Itulah indahnya Rania. Pandai mengata perempuan itu seperti kabus padahal dirinya sendiri pun tak ubah seperti kabus. Dan aku hampir-hampir kehilangan wanita yang bendul ini! Fikirnya.

“Kenapa you senyum seorang. Mesti you mengata I kan?” tuduh Rania.

“Tengok tu dah banyak kali pesan jangan guna perkataan I dengan you, dia guna juga.”

Rania tergelak. “Proses transformasi ambil masa tau!”. Bijak pula dia memberi alasan. Para tetamu makin menyusut apabila petang kian melabuhkan tirainya.
Pekerja-pekerja daripada BAEM Caterer sibuk mengemas gelas, pinggan dan kerusi meja.

Sebelum jam enam petang, halaman rumah mewah keluarga Tan Sri Razlan sudah kembali kemas dan tenang seperti sebelumnya. Tan Sri Razlan masih berada di beranda bersendirian tapi kelibat Puan Sri Zalia tidak kelihatan.

Adik-beradik Rania yang lain bersidai kepenatan di ruang tamu. Redwan sudah tergolek tidur di atas permaidani manakala Rais bersantai sambil menonton televisyen. Murni tidak kelihatan. Anak-anak Rindu diarahkan mandi oleh Iskandar sedang Rindu pula mengemas-ngemas kusyen yang bertaburan di lantai.
Rania bersama Ummar Qayyum telah dipesan oleh Rindu supaya berkumpul di ruang tamu utama untuk acara buka hadiah selepas waktu Isyak.

“Ren dengan Qayyum jangan lambat-lambat turun nanti tau,” usik Rindu semasa pasangan pengantin baru itu beriringan menaiki tangga menuju ke tingkat atas.

Sebelum azan Maghrib bergema, Rania bersama Ummar Qayyum sudah siap duduk di atas sejadah masing-masing di dalam kamar mereka. Untuk kali ketiga mereka solat berjemaah bersama-sama. Malam itu mereka dapat bersolat jemaah waktu Maghrib dalam suasana yang lebih tenteram dan tidak terkejar-kejar seperti siang tadi.

Selesai solat Maghrib, mereka berwirid bersama-sama dan menyambung dengan solat sunat hajat. Seusai doa dibaca dan diaminkan, Ummar Qayyum memusingkan tubuhnya menghadap Rania. Hatinya berbunga cinta melihat wajah redup isteri dalam telekung putih. Rania menyalami tangan Ummar Qayyum. Dahi Rania dicium Ummar Qayyum. Seketika kemudian tubuh Rania sudah berada dalam pelukan Ummar Qayyum. Rania membatukan diri.

Jantungnya berdebar kencang. Dia berasa cemas. Pelukan dilepaskan. Ummar Qayyum menatap muka bujur telur Rania.

“Baru sekarang abang dapat tengok muka isteri abang puas-puas.”

Helaan nafas Ummar Qayyum membuatkan jantung Rania berdegup tiga kali laju daripada kebiasaan. Kerana tidak tentu arah, dia melepaskan diri dan bangun.

“Nak pergi mana tu?” tanya Ummar Qayyum bila melihat Rania yang tiba-tiba kelam-kabut.

Dia masih bersila di sejadah. Hendak tergelak apabila dia menyedari Rania menggelabah.

“Nak buka telekung,” sahut Rania.

“Kan nanti nak solat Isyak, tak payahlah buka,” kata Ummar Qayyum tapi tidak diendahkan Rania.

Ummar Qayyum memerhatikan sahaja gelagat Rania. Dari tempat mereka berjemaah, Rania menuju ke ruangan yang agak terpencil. Ruangan itu dikhaskan untuk menyidai tuala atau menyangkut apa-apa pakaian. Bilik yang besar dan selesa itu dibahagikan kepada beberapa ruangan.

“Lepas buka telekung duduk sini balik ya,” jerit Ummar Qayyum sengaja hendak menyakat Rania.

Degup kencang jantung Rania seperti tiada noktahnya. Dalam kebingungan, dia membuka telekung. Debar yang menggunung sukar benar hendak dikuis. Entah mengapa malam itu, dia berasa gerun berdua-duaan dengan Ummar Qayyum di dalam kamar yang sunyi sepi seperti itu.

Semasa mereka bersolat berjemaah bersama-sama siang tadi, perasaan sebegini tidak pula muncul. Kenapa sekarang pantai hatinya bergelora dengan rentak yang aneh sekali? Kerana tidak keruan Rania bersembunyi seketika di sebalik dinding tempat dia menukar pakaian.

“Sayang...”

Panggilan daripada Ummar Qayyum menyebabkan Rania cepat-cepat mengenakan pakaian tidur yang biasa dipakai. Baju tidur yang dibeli khas untuk malam pengantin masih tergantung di dalam kabinet.

“Sayang...”

Mendengar panggilan kali kedua baru Rania bergerak. Dia tidak menghampiri Ummar Qayyum tetapi menuju ke ruangan yang menempatkan sebuah sofa tiga dudukan berjenama Fella Design bercorak bunga ros.

Rania duduk sopan di atas sofa panjang. Di sebelah sofa itu, ada sebuah kerusi berlengan. Katil bersaiz king yang bercadar indah dan mewah pula terletak tidak jauh dari situ.

Dari sejadah, Ummar Qayyum bangun dan bercadang hendak duduk di sebelah isterinya. Belum sempat duduk, dia disergah si isteri.

“Kenapa you duduk kat sini? Pergilah duduk kat kerusi tu.” Mulut Rania menghala ke kerusi berlengan.

Tanpa banyak kerenah Ummar Qayyum menurut arahan Rania.

“Buatkan abang Nescafe panas boleh?” Kali ini Ummar Qayyum pula mengarah.
Rania bangun dan bergegas turun ke bawah. Dapur sunyi sepi tanpa penghuni.
Makcik Rohaya sudah tentu sedang berwirid selepas Maghrib, fikir Rania. Selepas membancuh Nescafe, Rania naik semula ke atas.

Ummar Qayyum sedang menikmati langit malam dari jendela yang terbuka semasa Rania masuk semula ke kamar. Di dada langit bintang-bintang bertebaran.
Seketika, Rania mencuri lihat Ummar Qayyum dari arah belakang. Lelaki itu nampak tegap dengan baju Melayu warna coklat dipadankan dengan kain pelikat berkotak campuran warna kelabu, coklat dan hitam. Kopiah putih di kepalanya belum ditanggalkan. Rania pandang pakaian yang melekat di tubuhnya.

Pelik pula aku pakai macam ni. Entah apa Ummar Qayyum fikir tentang aku, fikirnya lagi tapi segera dinyahkan perasaan yang tidak enak itu.

“Qayyum, ni Nescafe you,” katanya kemudian.

Ummar Qayyum memusingkan tubuh seraya berpaling padanya. Sambil berpeluk tubuh, Ummar Qayyum merenung wajah lembut isteri yang berdiri tercegat di sisi meja kecil tempat cawan diletakkan. Sekali lagi Rania menggelabah. Rania dipanggil Ummar Qayyum mendekatinya dengan bahasa isyarat tetapi Rania tidak bergerak.

“Kalau sayang tak datang ke sini, abang pergi situ,” ugut Ummar Qayyum.

Kali ini Rania akur. Dia berlagak tenang. Hampir pada lelaki itu, tubuh Rania dipaut lembut.

“Sayang sekarang isteri abang...” Matanya merenung tajam ke mata Rania.
“Sayang tak perlu malu.”

Rania mengetap bibirnya.

“Gemuruh?” tanya Ummar Qayyum.

Rania angguk perlahan.

“Bukan malam ni saja sayang dengan abang, insya-Allah kita akan bersama selamanya. Jadi, sayang tak payah takut atau bimbang,” pujukan lembut Ummar Qayyum ternyata berhasil membuatkan Rania tenang.

Ummar Qayyum memaut tubuh Rania lalu menghalakan pandangannya ke arah langit.
Kedua-dua tangannya dililit di sekitar pinggang Rania manakala dagunya ditampung ke bahu Rania.

“Tengok langit yang penuh bintang tu,” arahnya.

Langit indah ditatap Rania. Tiba-tiba dia ikut saja arahan Ummar Qayyum tanpa bantahan.

“Bersaksikan langit dan bintang serta malam ciptaan Allah ini, abang nak sayang lafazkan pada abang bahawa sayang cintakan abang. Dan mula pupukkan rasa cinta itu dengan memanggil suami sayang dengan panggilan abang, boleh?” Di tepi telinga Rania, Ummar Qayyum berbisik.

Malunya Rania bukan kepalang. Sejak siang tadi mulutnya memang tidak masuk ajar. Asyik terlepas bahasa sahaja. Suaranya tenggelam tetapi dengusnya yang kedengaran.

“Bisikkan panggilan itu sekarang, boleh?” rayu Ummar Qayyum.

Suaranya romantik. Bulu roma Rania menegak.

“Ren malulah.”

“Nak malu apa? Sayangkan dah jadi isteri abang.”

Lingkaran tangan Ummar Qayyum di pinggang Rania makin rapat. Lama-lama hilang rasa segan dan malu yang bertakung di hati Rania. Mereka bersidai dan berbual mesra di tepi jendela. Masuk waktu Isyak, mereka berwuduk dan sekali lagi bersolat Isyak berjemaah. Semasa mereka turun ke bawah, semua adik-beradik sudah berkumpul.

“Dah pesan suruh turun cepat, lambat juga.” Usikan Rindu menyambut pasangan mempelai itu. Rania duduk di sebelah Ummar Qayyum. Ayah dan emaknya tiada bersama.

“Mama dengan ayah mana?” tanya Rania.

“Ren pergi panggil,” arah Rindu.

Selepas tiga kali ketukan bergema di pintu bilik tidur ibu bapanya, barulah tombol pintu bilik dipulas dari dalam.

“Kak Rindu panggil mama dengan ayah join kami,” ujar Rania kepada ayahnya yang masih berkopiah di kepala.

Dijengah ke dalam bilik, ibunya masih dalam telekung dan duduk di atas sejadah.

“Mulakan dulu, nanti ayah dengan mama datang kemudian,” sahut Tan Sri Razlan.

“Okey,” sahut Rania. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Tan Sri Razlan menghampiri isterinya semula. Perbualan mereka tadi tergendala sebentar dek kehadiran Rania.

“Abang masih nak berdolak-dalik macam perempuan tadi?” soal Puan Sri Zalia.

Itu soalannya yang terputus tadi. Sekarang dia mahu suaminya berterus-terang.
Sejak siang tadi perasaannya kucar-kacir dek kehadiran perempuan muda itu. Dan sejak siang, soalan yang meruntun-runtun di kepalanya masih tidak berjawab.
Bukan selama ini dia tidak pernah mendengar desas-desus tentang cerita
suaminya. Dia dengar tetapi malas diendahkan sangat meskipun Datin Latifah sendiri pernah menelefonnya di Langkawi dulu menyatakan sesuatu yang membuatkan fikirannya kusut.

Tapi dijeruk-jeruk di dalam hati kerana sibuk dengan urusan pernikahan Rania.
Tadi, bila perempuan yang dikata oleh Datin Latifah tiba-tiba muncul di majlis Rania, dia berasa terhina, marah dan terancam. Kerana mahu tahu akan kebenaran,dengan ramah-tamah dia menemuramah perempuan muda itu tapi ketara
tetamu yang tidak dikenali itu banyak berdolak-dalik.

Demi menjaga majlis Rania, ditahankan perasaannya yang bergelora itu tambahan pula suaminya muncul mendadak dan menyelamatkan situasi. Sekarang, tibalah masa untuk suaminya bercerita yang sebenar-benarnya. Kerana terus diasak, akhirnya Tan Sri Razlan mengalah. Dia berterus terang tentang status perempuan muda misteri yang bernama Zara Aliya tersebut.

“Anak abang?” Terbuntang biji mata Puan Sri Zalia sebaik sahaja mendengar keterangan tersebut.

“Anak abang yang mana? Sejak bila abang ada anak tu?” Berpinar-pinar mata Puan Sri Zalia dek terkejut dan tidak percaya.

Tubuhnya kelihatan turun naik dengan nafas yang tersekat-sekat.

Sungguh tidak diduga akan berita yang baru didengarinya itu. Bermakna benarlah telahan Datin Latifah selama ini. Cuma dia sahaja yang berterusan menafikan.

Tan Sri Razlan memaut bahu isterinya. Rasa bersalah menunda-nunda tangkai hati. Tangannya ditepis Puan Sri Zalia. Kerana dipaksa, dia membongkar rahsia yang selama ini tersimpan kemas. Dia berkahwin dengan ibu Zara Aliya, iaitu Maria Josh Abdullah yang berasal dari Filipina 12 tahun selepas perkahwinannya dengan Puan Sri Zalia.

Zara Aliya dilahirkan dua tahun selepas kelahiran Rania. Dua tahun lepas, ibu Zara Aliya meninggal dunia. Sejak itu tanggungjawab menjaga Zara Aliya terletak di bahunya. Menurut Tan Sri Razlan, dia perlu meluangkan sebahagian masa dengan anak gadis yang kini sebatang kara. Kerana itu, di beberapa majlis yang berlangsung di rumah, Zara Aliya sentiasa ada bersama.

“Tergamak abang buat macam ni pada saya.” Di birai katil Puan Sri Zalia meninggikan suara.

Hancur luluh hatinya. Jiwanya kacau dan tidak menentu. Ada tikanya dia teresak-esak, ada tikanya dia menahan nafasnya yang dirasakan pendek-pendek.

Bagai tidak percaya suaminya sanggup menipu dan menduakannya sekian lama, Puan Sri Zalia memegang dadanya yang terasa ketat.

Melihat isterinya yang seperti sesak nafas, Tan Sri Razlan membantunya berbaring. Puan Sri Zalia melarikan wajahnya daripada dipandangi si suami.
Soalan-soalan yang ditanyakan suaminya tidak dijawab. Dia tidak mampu untuk berpura-pura.

“Lia nak baring di sini?” soal Tan Sri Razlan lagi.

Puan Sri Zalia membatukan diri.

“Anak menantu dan cucu-cucu tunggu kita di luar,” ujar Tan Sri Razlan lagi.

Puan Sri Zalia memusingkan tubuhnya. Boleh lagi tukar topik setelah hati aku disiat-siatnya. Air matanya makin laju membasahi pipi. Dia mahu berehat dan bersendirian menenangkan jiwa yang gundah gulana itu. Dua tidak mahu keluar dan menyaingi sanak-saudara di ruang tamu.

Dia tidak mampu untuk berhadapan dengan anak, menantu dan cucu-cucu yang sedang riuh-rendah di luar. Meskipun dia sedar bahawa acara membuka hadiah sedang berlangsung tapi dia tidak peduli. Biarlah aku sendiri di sini! Detik hatinya.

Siang tadi keinginannya meronta-ronta untuk bersama Rania dan Ummar Qayyum membuka hadiah yang diberikan oleh para tetamu tetapi malam ini harapannya musnah. Impiannya berkecai. Hilang perasaan girang yang dialami siang tadi bagai dikaup garuda.

“Abang minta maaf,” ucap suaminya sebelum pergi.

Pintu bilik ditutup. Tan Sri Razlan bersandar di pintu kamar seketika.
Perasaan bersalahnya tidak dapat dibendung. Tenang sedikit, dia bergerak menghala ke ruang tamu tempat anak cucu berkumpul.

Wajah Rania riang sekali. Ummar Qayyum sentiasa berada di sisinya. Sambil melayangkan ingatan ke kenangan silam, Tan Sri Razlan duduk di sebuah kerusi jati tidak jauh dari tempat sanak-saudara berkumpul.

Wajah Rania tak jauh beza dengan raut ibunya masa muda. Zalia, perempuan pertama yang berjaya mencuri hatinya. Tapi bagaimana hatinya boleh terpaut pula pada Maria Josh, wanita Filipina yang beragama Kristian itu? Wanita berdarah kacukan Filipina Sepanyol itu ditemukan semasa dia menjadi pegawai kedutaan di United Kingdom. Perkenalan selama setahun akhirnya membuatkan Maria memeluk agama Islam dan kemudiannya disunting menjadi isteri.

Tiada seorang manusia pun yang mengetahui bahawa dia berkahwin dua. Selama ini rahsia itu terkatup kemas tetapi sebaik sahaja Maria meninggal dunia, tugas menjaga satu-satunya anak mereka berpindah padanya. Saat itu dia dapat merasakan bahawa gerak langkahnya tidak sebebas dahulu lagi. Zara Aliya sentiasa mahu ditemani setelah ketiadaan ibu. Kuala lumpur sebesar mana?

Dia yakin ada antara kawan-kawan isterinya yang ternampak kalau dia bersama Zara Aliya. Kerana itu dia tidak terkejut apabila Puan Sri Zalia bersemuka dengan Zara Aliya dan bertanya macam-macam soalan kepadanya tadi. Dia yakin isterinya sudah pun mendengar desas-desus tentang kewujudan Zara Aliya. Tan Sri Razlan tidak senang duduk. Dia kasihkan keluarganya tapi bagaimana pula dengan Zara Aliya? Dia tidak ada pilihan. Zara Aliya tetap darah dagingnya dan akan sentiasa menjadi anaknya. Mereka harus menerima Zara Aliya.

“Mama mana ayah?” Suara Rania perlahan sahaja hinggap di tepi telinganya.

Tan Sri Razlan tersedar daripada khayalan. Dagu Rania sudah bertenggek di tepi bahu kanannya. Diusap kepala si anak.

“Mama dalam bilik. Mama tak sihat, penat agaknya,” ujar Tan Sri Razlan.

Tidak sedap hati Rania mendengarnya.

“Nak tengok mama kejap,” kata Rania.

“Mama tidur. Biarlah mama rehat dulu,” kata-kata ayahnya mendatangkan curiga di benak Rania. Sejak bila mama tak berminat nak menyertai aktiviti kekeluargaan?

“Nak tengok mama juga.” Rania terus bangkit. Dia berlari-lari menuju ke bilik maknya.

Tanpa mengetuk pintu, Rania terus menerjah masuk ke dalam bilik emaknya. Tubuh emaknya berbungkus kemas dalam selimut di dalam bilik yang sejuknya menyengat. Rania pegang kepala emaknya.

“Mama...” panggilnya tapi telinganya mengesan bunyi esak kecil. Puan Sri Zalia berpaling.

Wajah emaknya tidak keruan. Air muka rusuh, rambut berselirat dan kesan-kesan air mata bersisa di wajah. Rania duduk di sisinya.

“Mama, kenapa ni?” soalnya perlahan tapi dia sudah dapat menduga bahawa ada sesuatu yang baru diketahui oleh ibunya. Dia teringat perempuan muda misteri itu.

Dengan susah payah, Puan Sri Zalia mendudukkan dirinya dibantu Rania.

“Orang lain kat depan semua?” soal ibunya yang cuba berlagak tenang. Rania angguk. Tiba-tiba Puan Sri Zalia terjebik.

“Kenapa mama?”

Keluhan berat kedengaran. Puan Sri Zalia mengambil nafas agak lama sebelum dia menuturkan sesuatu.

“Ayah kamu.”

Sebaik sahaja ungkapan ‘ayah kamu’ terletus daripada bibir emaknya, sudah dapat diramal Rania faktor yang membuatkan ibunya sedang berduka lara itu.

“Ayah buat apa?” Perlahan Rania bertanya.

“Dia pernah ada isteri kedua,” ucap emaknya lagi.

Dia menelan air liur yang terasa kelat di kerongkong. Rania menunggu cerita seterusnya daripada ibu.

“Tapi dah mati pun.” Kesat kata-kata ibu membuatkan Rania terkedu.

Melihat Rania hanya membisu tanpa reaksi yang diramal, Puan Sri Zalia menjadi curiga.

“Ren macam dah tahu saja,” serkapnya.

“Ren tak tahu apa cerita di sebaliknya tapi Ren pernah ternampak ayah dengan seorang perempuan muda masa kita kat Pavilion dulu.”

“Kenapa Ren tak beritahu mama?” Bulat mata Puan Sri Zalia merenung Rania.

“Cakap pun tak guna. Nanti mama jadi macam sekarang,” sahut Rania selamba.
Puan Sri Zalia mengeluh payah.

“Agaknya budak yang Ren nampak dengan ayah tu perempuan muda yang tadi kot.”

Rania angguk. “Siapa perempuan tu mama?”

“Tu anak ayah dengan bini dia yang mati tu.” Sekali lagi ungkapan kasar kedengaran dari mulut Puan Sri Zalia.

“Anak ayah?” Kali ini Rania pula terkesima.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/29

Novel bersiri cikgu rania 2 (siri 16)



Cikgu Rania 2 (Siri 16): Di Taman Sekebun Cinta

Oleh Samsiah Mohd Nor

SELESAI ijab kabul, bermula fasa baru dalam hidupnya! Alam perkahwinan. Hari ini merupakan derap langkahnya yang pertama bergelar isteri. Isteri kepada seorang lelaki bernama Ummar Qayyum. Bahtera mawaddah ini akan dilayari bersama Ummar Qayyum di lautan rumah tangga.
Di dada sejadah itu, buat pertama kali Rania bersolat Zuhur berimamkan suami.
Selepas salam diberi, Rania mengaminkan setiap doa yang dipanjatkan Ummar Qayyum. Panjang sekali doa Ummar Qayyum. Sewaktu tangan Ummar Qayyum dikucup hatinya berdetik, “Ya Allah, jadikanlah aku seorang isteri yang solehah.
Sinarilah dan rahmatilah rumah tangga yang baru kami bina ini. Amin Ya Rabul Alamin”, pohonnya.

Sebaik kepalanya terdongak, dahinya pula dikucup penuh kasih oleh sang suami. Jiwa Rania sungguh tenang saat itu. Dibiarkan sahaja detik-detik itu berlalu dengan aman tanpa gangguan.

“Dah lama abang mimpikan saat-saat seperti ini. Terima kasih kerana sudi jadi isteri abang.” Bisikan lembut Ummar Qayyum kedengaran syahdu di telinganya.
Penggunaan kata nama ‘abang’ yang diucap Ummar Qayyum menyentuh hati kecil Rania. Pada masa yang sama Rania berasa berdebar-debar.

Mampukah aku menjadi isteri solehah kepada Ummar Qayyum? Berupayakah aku menggalas tugas sebagai suri hatinya? Soal Rania sendiri. Lautan was-was tidak dapat dielakkan oleh wanita yang baru bergelar isteri itu. Sesekali datang juga perasaan gerun mengenangkan tanggungjawab dan amanah yang sudah pun terpikul di bahunya padahal buku berjudul “Tugas Seorang Isteri” sudah pun dikatam berkali-kali.

“Jangan bimbang sayang. Kita layari bersama-sama perahu kecil kita ini. Kita harungi hidup sebagai suami isteri dengan penuh kasih sayang. Kita akan saling melengkapi serta saling mengingati tugas dan peranan masing-masing,” bisik Ummar Qayyum sewaktu soalan itu diajukan padanya.

Telekung di wajah Rania dilucutkan oleh Ummar Qayyum. Wajah halus Rania diusap lembut. Kiri kanan pipi Rania dicium.

“Isteri abang yang cantik dan baik hati. Abang gembira dan sangat bangga.”

“Bimbing I jadi isteri yang solehah,” pinta Rania dalam debaran yang payah untuk ditafsir.

“Kan abang dah cakap lepas ni jangan bahasakan diri dengan ungkapan ‘I’ bila bercakap dengan abang,” Ummar Qayyum menegur Rania. Sudah beberapa kali diingatkan tetapi Rania masih terlepas cakap membahasakan dirinya I.

Rania tersipu-sipu. “Susahlah sebab dah biasa dengan I you I you,” Rania beralasan.

Hakikatnya walaupun dia suka tetapi dia berasa malu dan janggal dengan panggilan yang tak pernah digunakan sebelum ini. Dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan alam baru termasuk dalam panggilan berbahasa.

“Abang tak selesa guna I dan you dengan isteri abang,” Ummar Qayyum masih menyentuh muka isterinya yang bebas daripada sebarang alat solek.

“Kalau panggil saya dengan awak boleh?” pantas saja Rania tawar-menawar.

“Tak hendak I dan you. Tak hendak saya dan awak. Abang nak sayang panggil ‘abang’ dan bahasakan diri dengan ‘yang’,” ajar Ummar Qayyum.

“Okey?” pesannya.

Mendengar bunyi tetamu bergelak tawa di bawah, Ummar Qayyum bangkit dari sejadah lalu menuju ke jendela. Dari situ dia mengintai para tetamu di halaman rumah. Tetamu banyak di bawah.

“Tak biasalah nak bahasakan diri dengan ‘yang yang’ ni,” rungut Rania seraya melipat telekung.

“Tadi suruh abang bimbing, sekarang kenalah ikut.” Ummar Qayyum hampiri isterinya semula sambil mencubit manja pipi Rania. Ummar Qayyum mengenakan sepersalinan baju Melayu berwarna biru muda. Cocok sekali dengan warna kulitnya yang putih kemerahan.

“Abang tunggu kat luar ya!” ujar Ummar Qayyum apabila Kak Tipah, mak andam yang akan menyolekkan Rania muncul.

“A.. aabang nak turun dulu pun tak apa. Kawan-kawan dah banyak tunggu kat bawah tu.” Tergagap-gagap Rania menyebut perkataan ‘abang’. Ummar Qayyum tersengih sahaja.

“Abang tunggu di luar ni. Kita turun sama-sama,” tegas Ummar Qayyum.

“Romantisnya suami Ren. Dahlah kacak bergaya,” puji Kak Tipah, mak andam yang ditempah khas untuk Rania.

“Alhamdulillah, semoga romantisnya itu berkekalanlah hendaknya.”

“Eh mestilah, tengok pun tahu,” ujar Kak Tipah sambil membetulkan persalinan
yang baru dikenakan pada Rania. Kemudian dia membutang bahagian depan baju kebaya biru muda yang nampak begitu cantik dan anggun di tubuh Rania.

“Mekap tak mahu tebal-tebal ya,” pesan Rania sewaktu mukanya baru dicalit dengan bedak asas. Awal-awal lagi dia telah mengingatkan mak andam agar tidak mengenakan solekan tebal di mukanya.

“Tak ada maknanya nak mekap tebal-tebal sebab muka Ren dah memang cantilk.
Masa nikah tadi pun akak calit sikit-sikit saja,” kata Kak Tipah.

Bibir nipis Rania dicalit dengan gincu berwarna merah jambu lembut.

“Macam tebal saja Ren tengok tadi,” giat Rania.

“Mana ada...” Kak Tipah menjeling. “Satu dunia puji Ren cantik tadi. Akak dengar, akak pula yang naik bangga.” Kak Tipah mengelekek geli hati. Dua puluh minit siapkan Rania, pengantin itu sudah nampak berseri-seri.

“Untunglah cik abang yang handsome tu dapat isteri macam ni.” Kak Tipah membetulkan kain bentuk lipat kipas yang dipakai Rania. “Dah siap pun! Tak perlu lama-lama, tak payah berjam-jam bersolek nak buat cantik!”

“Jom...,” ajak Rania.

Kak Tipah mengiringi Rania. Di luar, Ummar Qayyum setia menanti. Ketara dia tergamam melihat si isteri. Tangan Rania digenggam erat dan berhati-hati sekali dia mengiringi Rania sewaktu mereka menuruni tangga menuju ke tempat para tetamu. Beberapa lensa kamera memfokus ke arah mereka sebaik sahaja pasangan mempelai itu bertemu para tetamu.

Ummar Qayyum berjabat tangan dengan para sahabatnya dan memperkenalkan Rania kepada mereka. Rakan-rakan sejawatan Rania juga tidak ketinggalan mahu bergambar bersama pengantin baru. Bila ada kesempatan, Ros Ilyani bersama Halim turut merapati Rania. Ummar Qayyum pada waktu itu sedang bersembang dengan beberapa rakan korporatnya. Rania menjerit kecil melihat kakak angkatnya itu.
Wanita itu dipeluk erat. Hampir menitis air mata Rania tatkala Halim mengucapkan tahniah.

“Terima kasih sudi datang,” ucap Rania ikhlas. Riang sungguh hatinya kerana banyak teman rapat yang dapat menghadirkan diri walaupun majlis dirancang pada saat-saat akhir.

“Orang dah jemput datanglah...,” sahut Halim bermakna.

“Buah jambu kau apa khabar Lim? Kau tak bawa untuk aku?” gurau Rania.

“Masih sudi makan buah jambu aku bila kau ada kek empat tingkat tu?” tukas Halim sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah meja bulat tempat kek empat tingkat diletakkan. Ros Ilyani sigung adiknya dengan hujung siku.

“Apalah kau ni Lim!”

“Maaf Ren, aku bergurau saja.” Menyedari ayatnya agak keterlaluan, Halim pohon kemaafan.

“Kak Ros dah makan ke ni?” Rania tukar tajuk perbualan.

“Dah. Tadi lagi. Dah jumpa mak cik pun. Dia yang layan kami masa Ren solat tadi.”

“Abang Redwan pun ada. Dia tanyakan tentang Kak Ros.” Tiba-tiba Rania berkata begitu.

Berubah air muka Ros Ilyani diusik Rania tapi perbualan mereka terhenti di situ tatkala Ummar Qayyum datang semula. Halim disapa penuh mesra oleh Ummar Qayyum. Halim melarikan pandangan tatkala dia perasan lengan Ummar Qayyum melingkar di pinggang Rania.

“Nanti Ren ikut Qayyum pergi Sweden sampai bila?” tanya Ros Ilyani.

“Tiga hari lagi kami berangkat tapi Ren balik semula lepas dua minggu sekolah buka,” jelas Rania.

Segala urusan cuti dan urusan ke luar negara telah pun diselesaikan oleh Rania dibantu oleh ayahnya.

“Ren tak ada niat nak berhenti dan berhijrah ke luar negara kan?”

“Eh Kak Ros, mana ada. Qayyum pun tak lama dah kat sana. Dua minggu lepas Ren balik, Qayyum balik juga.”

“Entah entah saya balik sekali dengan Ren Kak Ros,” seloroh Ummar Qayyum seraya menggenggam erat tangan isteri kesayangannya. Sambil bergurau-senda dengan Ros Ilyani, sempat pula mereka melayan dan bersalam-salaman dengan para tetamu yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah pada pasangan yang sama cantik itu.

Ashraf Daniel pada setiap masa merakam detik dan aksi pengantin dengan perakam video Canon padahal jurukamera profesional sudah pun dipertanggungjawabkan untuk tugasan itu. Merakam detik-detik bersejarah sebegitu amat menyeronokkan tambahan pula melakukan kerja tersebut bersama Jennifer. Sahabat baiknya itu begitu teruja melihat pernikahan orang Melayu.

“She is so gorgeous...” Pujian Jennifer melebarkan senyuman Ashraf Daniel.

“She is my auntie now,” kata Ashraf Daniel dengan bangga.

“Saya tahu, tak payah nak berlagak,” potong Jennifer diikuti dengan tawa besar Ashraf Daniel.

Tidak dapat dinafikan setiap mata yang memandang pasangan pengantin sudah pasti akan memuji gandingan mempelai yang bagai pinang dibelah dua. Pujian itu bukan sahaja dinyatakan pada pengantin bahkan singgah juga di telinga ibu bapa pengantin. Senyum berladung di bibir Puan Sri Zalia, suami dan juga Nenek Ninda. Kembang hati mereka mendengar kata-kata para tetamu.

“Alhamdulillah, suka saya tengok mereka kak. Berbesan juga kita akhirnya Kak Ninda,” ujar Puan Sri Zalia apabila para tetamu mulai menyusut. Matanya tidak lekang daripada memerhatikan pasangan anak menantunya. Sesekali dia mengintai cucu-cucunya yang riang berkejar-kejaran dengan sanak-saudara yang sebaya mereka.

“Syukur pada Allah SWT, semuanya selamat.” Nenek Ninda raup mukanya. “Tengok si Acap tu, sukanya dia. Cikgu kesayangan dah jadi ibu saudara,” ujar Nenek Ninda.

Dia senang melihat gelagat riang Ashraf Daniel yang suka menyakat pasangan pengantin. Bukan dia tidak tahu cucu kesayangannya itu sejak dahulu berangan-angan supaya Rania jadi mak ciknya.

“Bertemu jodoh Qayyum dengan Rania sebab ramai yang mendoakan,” tokok Puan Sri Zalia pula.

“Zalialah beruntung. Tahun ni saja dapat dua menantu.”

“Akak pun apa kurangnya!”

“Akak lagi beruntung dapat menantu secantik Ren,” Pujian Nenek Ninda membuatkan hati Puan Sri Zalia kembang kuncup. Sebaik sahaja Puan Sri Zalia beredar, mata Nenek Ninda tersuluh pada Murni yang duduk bersendirian di bangku panjang tidak jauh darinya. Dia menggamit tangan pada Ashraf Daniel lalu disuruhnya Ashraf Daniel memanggil Murni.

“Murni sihat?” tanya Nenek Ninda sebaik sahaja Murni menyalaminya. Nenek Ninda usap perut Murni yang mulai membonjol.

“Bolehlah nenek.”

“Mana Rais?”

Murni angkat bahunya.

“Dah berapa bulan ni?” Pertanyaan Nenek Ninda membuatkan Murni tersedak. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab soalan itu. Sudahnya dia berbohong.

“Tiga lebih kot...,” sahutnya perlahan sekali.

“Ni macam bunting pelamin ni.”

Murni matikan persoalan itu dengan memicit-micit kepalanya. Lelah rasanya setiap kali diajukan tentang kandungan itu. Banyak nasihat yang sempat dititipkan oleh Nenek Ninda kepadanya. Dia lebih rela mendengar daripada berkata-kata. Otaknya tidak dapat berfikir dengan tenang kerana banyak benar masalah yang mengganggu benaknya kala itu. Ikutkan hati dia mahu berkurung sahaja di kamar tetapi jiwanya memberontak. Dia tidak senang bersendirian apabila mengenangkan Ummar Qayyum bersama Rania sedang menikmati saat-saat indah pernikahan mereka. Dia sakit hati tetapi buat masa itu apa yang mampu dia lakukan? Dia mati akal. Melihat wajah bahagia Rania hatinya bertambah hancur.
Jiwanya parah seumpama luka yang disiram air garam. Mampukah aku hidup sebumbung dengan mereka. Mampukah aku melihat Abang Qayyum dengan Rania memadu kasih di hadapan mataku?

Apabila Bakhtiar sekeluarga datang menyaingi dan duduk bersembang dengan Nenek Ninda, Murni mengambil kesempatan memerhatikan pasangan pengantin yang sedang dikelilingi oleh rakan dan taulan yang mahu bergambar kenangan. Lengan kekar Ummar Qayyum sentiasa berlilit di pinggang Rania. Pandangan mata Ummar Qayyum terhadap Rania menyemarakkan api cemburunya pada perempuan muda yang baru bergelar isteri itu. Kau rampas abang Qayyum daripada aku Ren! Aku akan sentiasa ingat perbuatan kau itu! Tidak semudah itu untuk aku lupakan. Murni menggetap giginya. Hatinya berasa sungguh panas.

“Kak Murni dah makan?”

Konsentrasinya terganggu apabila suara seseorang menegurnya. Murni anggukkan kepala. Ashraf Daniel duduk di sebelahnya. Perakam video dihalakan oleh Ashraf Daniel ke muka Murni. Kerana tidak selesa, Murni mengelak.

“Sportinglah sikit kak,” tegur Ashraf Daniel apabila Murni menggunakan kedua-dua belah tangan untuk menutup wajahnya daripada dirakam Ashraf Daniel.

“Kak Murni tak cantiklah...” Murni menolak.

“Cantiklah tu...” Tanpa mempedulikan tegahan Murni, Ashraf Daniel merakam muka Murni.

Kemudian, dia menunjukkan gambar yang dirakam kepada Murni.

“Kak Murni nampak bulat sikit,” kata Ashraf Daniel. Setelah itu ditunjukkan pula rakaman video yang menayangkan Rania sedang memotong kek perkahwinan setinggi empat tingkat. Berderau darah Murni apabila melihat Ummar Qayyum mencium pipi Rania.

“Comelkan... tengok Makcik Ren cantik sangat sangat!” Pujian Ashraf Daniel menyebabkan dada Murni turun naik menahan cemburu yang teramat sangat.

“Pengantin dah kena mekap mestilah cantik!” bantah Murni.

“Mana ada. Makcik Ren tak pakai mekap pun. Dia cantik asli. Untunglah Pak Ucu dapat Makcik Ren. One in a million,” tokok Ashraf Daniel tanpa menyedari Murni seperti hendak pengsan mendengar kata-kata tersebut. Menyedari keluarganya berkumpul di situ, Ashraf Daniel memanggil pasangan pengantin tersebut untuk dirakam gambar bersama keluarga.

Murni sudah tidak keruan. Isi perutnya seperti hendak terkeluar tatkala Bakhtiar menyuruh Ummar Qayyum memaut bahu Rania seraya mencium pipi pengantinnya sebelum gambar mereka dirakam. Datang pula Tan Sri Razlan tapi Puan Sri Zalia tidak kelihatan. Suasana ceria dan riang ria menghiasi dua buah keluarga yang sudah bersatu. Ketara Rania disayangi oleh semua.

“Jom Murni ambil gambar sekali. Tak ambil lagi gambar dengan Murni,” pelawa Rania.

Ashraf Daniel sudah bersiap sedia hendak menangkap gambar manakala wajah Ummar Qayyum berubah rona. Langsung tidak ditegurnya Murni. Menyedari air muka Ummar Qayyum yang kurang mesra itu, Murni jadi serba salah tetapi apabila diajak berulang kali oleh Rania, Murni tiada pilihan. Dia berdiri di sebelah Rania.
Setelah gambar mereka diambil, Ashraf Daniel menyerahkan kamera pada Jennifer.

“Acap nak berdiri sebelah Makcik Ren.” Dia lalu menyelit di tengah-tengah.
Murni tertolak ke tepi. Bengkak hati Murni hanya Tuhan sahaja yang tahu. Ashraf Daniel dulu pernah begitu rapat dengannya tapi sekarang Murni perasan anak saudara Ummar Qayyum itu kini sudah berubah. Dia sangat menyayangi dan mengagumi Rania. Nama Rania sahaja yang meniti di bibirnya. Bukan Ummar Qayyum sahaja yang dirampas Rania bahkan seluruh keluarga Ummar Qayyum sudah diikat Rania. Apa yang tinggal padaku?

Dia nampak Rais sedang berbual dengan Ros Ilyani dan Halim. Cepat-cepat Murni meloloskan diri lalu menghampiri Rais dan duduk di sebelahnya.

“Murni dah berapa bulan mengandung ni?” Sekali lagi soalan yang dibenci itu ditanya oleh Ros Ilyani.

“Masuk empat bulan!” Kali ini Murni menyahut dengan yakin sekali. Dia puas hati tengok muka Ros Ilyani yang agak terkejut. Rais terkebil-kebil. Semua terdiam seketika.

“Kalau Murni penat, naiklah dulu.”

“Penat juga tapi tak apalah...”

“Dah solat?” tanya Rais lagi.

“Zuhur dah,” sahut Murni. Dia tidak mahu naik ke atas kerana dia hendak melihat dan mengawasi setiap gerak-geri Rania. Kalau naik, dia akan terlepas macam-macam, fikirnya. Sakit hati Murni menjadi-jadi melihatkan Ummar Qayyum yang berlebih-lebih melayan Rania. Setiap masa dia berlingkar di sebelah isterinya manakala jari-jemari tangannya tidak lepas-lepas bersilang dengan jari Rania.

Rania pula menikmati saat-saat pernikahannya dengan gembira tanpa mengetahui dendam kesumat yang sudah berakar umbi di jiwa Murni. Dalam pada sibuk bergambar dan melayan ahli keluarga, tiba-tiba pandangan Rania tertangkap pada sebuah wajah. Terkejut bukan kepalang Rania dibuatnya. Rania amati wajah perempuan muda yang sedang berbual dengan seseorang. Hati Rania jadi tidak menentu. Perempuan misteri itu ialah perempuan muda yang ditemui bersama ayahnya di Pavilion. Perempuan itu pernah menghadiri majlis perkahwinan Abang Rais. Hari ini dia tetap ada. Siapa perempuan itu? Rania bermonolog sendiri tapi tumpuannya terhadap perempuan itu terjejas kerana dia sering didatangi tetamu.

“Kenapa sayang?” soal Ummar Qayyum menyedari Rania sudah hilang tumpuan. Rania menggeleng tapi spontan dia teringatkan ibunya.

“Kejap ya abang.” Ditinggalkan Ummar Qayyum sendirian melayan tetamu yang masih bersisa.

Rania mencari emaknya. Di dalam rumah ibunya tiada. Menurut Makcik Rohaya, dia nampak Puan Sri Zalia bersama Datin Latifah sebentar tadi. Rania meluru ke laman depan. Sewaktu sibuk mencari ibunya, tangan Rania ditarik Ummar Qayyum.

“Kat sini sayang abang. Melilau abang cari. Kenapa ni?” soalnya prihatin.

“Maaf, Ren cari mama,” sahut Rania dengan sedikit rasa bersalah.

“Tu mama.” Ibu jari Ummar Qayyum menghala ke arah Puan Sri Zalia yang seperti sedang berbisik sesuatu dengan Datin Latifah. Berkerut dahi Rania melihat rona serius yang menghiasi laman wajah si ibu. Sambil berbual kedua-dua wanita itu kelihatannya sedang memerhatikan ke satu sudut.

Rania tumpang semangkuk. Dia juga menoleh ke arah yang sama. Berderau darahnya sebaik sahaja menyedari bahawa orang yang sedang diperhatikan oleh ibunya dan Datin Latifah ialah perempuan muda misteri itu.

Dada Rania berdebar-debar. Sudah tahukah mama? Bisik Rania sendiri. Dia terduduk di sebuah kerusi kosong. Janganlah mama tahu masa ni!

“Kenapa ni sayang?” Bahu Rania dipaut Ummar Qayyum. Mata mereka bertatapan.
Cuba Rania sembunyikan rahsia hatinya itu namun terbaca juga dek Ummar Qayyum.

“Kenapa?” Dagu Rania disentuh Ummar Qayyum. Wajahnya penuh pengertian. Sedar dia bahawa ada sesuatu sedang melanda suri hatinya.

“Mama...,” sahut Rania. Semasa Rania mengalihkan pandangannya pada ibu
sekali lagi, dilihat ibu dan Datin Latifah sedang mengorak langkah menuju
ke arah perempuan misteri itu.

“Ya Allah, mama nak buat apa?” Jantung Rania terasa seperti hendak luruh.

Novel bersiri cikgu rania 2 (siri 15)



Cikgu Rania 2 (Siri 15): Aku terima nikahnya!
Oleh Samsiah Mohd Nor
   
Seminggu! Itulah jangka masa yang diberikan pada mereka untuk menyelesaikan pelbagai urusan menjelang pernikahan Rania dengan Ummar Qayyum. Dari segi wang ringgit, langsung tiada masalah tapi pelbagai urusan remeh temeh yang lain yang mendebarkan Rania.
Pakaian pengantin untuk mereka berdua! Barang hantaran! Kek perkahwinan!
Senarai tetamu undangan! Itu belum masuk lagi tempahan hidangan para tetamu, hidangan pengantin dan macam-macam lagi.

Sempatkah?” Mampukah? Tanya Rania dengan debarnya.
“Jangan bimbang Ren. Duit ada semua jadi!” selamba saja Mak cik Rohaya menjawab.
“Ini bukan soal duit sahaja makcik! Ini soal masa, tenaga. Banyak yang nak kena urus,” wajah Rania yang selalunya tenang, bergolak pula kali ini. Kasihan kalau mama terpaksa uruskan segala-galanya.

“Tak usahlah Ren khuatirkan. Semua akan diuruskan dengan lancar. Mama dan ayah Ren tahulah apa nak yang dibuat,” Mak cik Rohaya mententeramkan hati Rania.

Memang benar sekali seperti yang dikata Mak cik Rohaya. Apabila duit berada dalam genggaman, yang susah jadi mudah. Jentik jari semua siap. Bagi Puan Sri Zalia tidak ada istilah payah apabila membabitkan pernikahan Rania. Semuanya bisa diurus lebih lebih lagi dengan kepulangan Rindu sekeluarga.

“Mama dah lantik dan bincang dengan perancang perkahwinan walaupun kita hanya buat nikah saja. Ren jangan bimbang. Semua dah mama uruskan!” Puan Zalia berkata dengan bangga. Dia meneliti senarai kerja yang tercatat pada diari kecil yang akhir-akhir ini selalu dibawa bersama.

“Mama dah buat semua? Baju nikah Ren dengan Qayyum, kek, hantaran semua?”
Tanya Rania untuk mendapatkan kepastian.

“Yang itu Kak Rindu dah uruskan.”

“Bila Kak Rindu uruskan? Kan kakak baru je sampai semalam,”

“Kak Rindu dah urus dari sana sebaik saja Kak Rindu tahu.” Maklum Puan Sri Zalia.

“Wow..hebatnya Kak Rindu!”

Apa yang susah pada zaman serba canggih ni,” leretan senyum Rindu benar-benar melegakan Rania. “Petang karang designer dari Eque Collection akan datang ukur badan Ren. Dalam dua hari siap baju nikah Ren,” janji Rindu.

“Qayyum punya?”

“Yang itu Abang Rais yang urus. Designer yang sama,” jelas Rindu.

“Wah...cekapnya ahli keluarga Ren buat kerja. Ren terharu sangat,”

“Bersyukur pada Allah yang memudahkan dan mempercepatkan semua urusan.” Puan Sri Zalia raup mukanya tanda terima kasih. “Ayah pun dah suruh PAnya uruskan tentang undangan terdekat. Cuma tinggal undangan kawan-kawan rapat Ren dengan Qayyum saja,” potong Datin Sri Zalia.

“Ni dah jadi macam majlis kahwin mama,”

“Mana pulak. Kalau majlis kahwin tak ada orang buat dalam masa seminggu,” sampuk Puan Sri Zalia.

Sementara ingat, Rania menghubungi rakan-rakan yang rapat dengannya.
Rata-rata rakan dan taulan terkejut mendengar berita menggembirakan itu tidak terkecuali Rahah.

“Biar betul awak Ren,” jerit Rahah.

“Betullah!”

“Ya Allah...kenapa tak sempat-sempat.”

“Dah jodoh. Nanti saya nak ikut Qayyum ke Sweden,”

“Amboi mak! Jelesnya saya! Dah lah dapat husband handsome...kaya pulak! Jerit Rahah. Rania tertawa kecil. Selesai berbual dengan Rahah, Ros Ilyani pula dihubungi Rania. Walaupun agak terperanjat, Ros Ilyani tidak lupa ucapkan tahniah.

“Bila Ren buat keputusan mendadak macam ni?” Ros Ilyani masih tidak percaya dengan berita yang didengarnya.

“Baru je Kak Ros. Qayyum yang usulkan. Ren setuju je. Ren sendiri pun tak percaya tapi Ren akur dengan ketentuan Allah swt,”

“Syukur. Kak Ros yakin itu yang terbaik untuk Ren,”

“Terima kasih Kak Ros,”

“Ni....err...Halim nak cakap dengan Ren,” ujar Ros Ilyani seraya menyerahkan telefon bimbitnya pada Halim. Getar suara Halim mengucapkan tahniah membuatkan Rania terdiam sejenak. Beberapa pertanyaan Halim tidak mampu dijawab oleh Rania. Puan Sri Zalia yang melihat perubahan raut wajah Rania bertanya dengan bahasa isyarat.

Rania hanya menggelengkan kepala. Dia memberi isyarat untuk terus berbual pada ibunya. Puan Sri Zalia pergi. Pilu rasa di hati mendengar rintihan Halim.
Hampir menitik air matanya apabila Halim melahirkan rasa sesal kerana memutuskan ikatan antara mereka dulu.

“Dahlah Lim. Kita terima sajalah apa yang berlaku sebagai takdir!” Pujuk Rania penuh pengertian.

“Mudahlah kau berkata begitu Ren. Aku?” suara rajuk Halim bagai tidak terubat.

“Kau tak suka aku bahagia?”

“Kau bahagia?” Uji Halim dengan suara yang masih bergetar.

“Aku bahagia,” sejujurnya Rania meluahkan apa yang dirasa. Esak kecil Halim kedengaran di seberang sana. Rania menahan nafas.

“Takpelah Ren....aku akan sentiasa mendoakan kebahagiaan kau,” ujar Halim sebelum talian dimatikan. Rania terduduk. Mengapa perlu ada kesedihan pada saat-saat begini? Rintihnya sedih. Dia sayangkan Halim dan mahu Halim menerima berita pernikahannya dengan dada terbuka tapi ternyata Halim tidak mampu.

Ah Halim...sukarnya mengerti hati seorang rakan baik seperti kau. Aku harap kau akan berjaya sebagai petani moden dan menemui cinta sejati suatu hari kelak. Rania bercerita sepintas lalu perbualannya dengan Puan Sri Zalia.
Wanita itu menghela nafas tanpa komen.

“Mudah-mudahan masa merawat luka Halim,” doanya sebelum pergi. Puan Sri Zalia kembali sibuk menyambung pelbagai tugasan yang menanti. Kemeriahan majlis pernikahan Rania makin terasa apabila saudara mara terdekat mulai bertandang ke rumah. Adik-beradik belah ibu dan ayah mulai memenuhi rumah mewah mereka.

Saudara mara yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan Rais dan Murni sebelum ini mengambil peluang untuk hadir kali ini. Suasana kemeriahannya ketara. Begitu berbeza jika dibandingkan dengan suasana semasa perkahwinan Murni dan Rais dulu.

Murni dapat merasakan jurangnya. Setiap saudara mara memberi perhatian kepada Rania. Tidak jemu-jemu mereka memuji dan mengusik Rania. Murni semakin berasa terasing di rumah besar itu. Kerana itu dia berkurung di kamar.

Kalau aku tiada di bawah pun, tidak ada siapa yang perasan, detik hati Murni.
Dia berdiri di jendela dan memerhati ke bawah. Kawasan laman rumah Tan Sri Razlan dipenuhi kereta saudara mara mereka yang bertandang. Entah buat kali ke berapa dia terkenang Ummar Qayyum. Kenangan bersama Ummar Qayyum di kampung tidak pernah luput dalam ingatannya. Perasaan kasih dan cinta tetap bertakhta.

Akhirnya Abang Qayyum tetap akan mengahwini Rania, Murni terjebik. Murni menoleh tatkala mendengar suara seseorang menyapanya.

“Mengapa berkurung kat bilik? Turunlah jumpa saudara mara,” arahan Rais membuatkannya terkebil-kebil. Murni meraba-raba perutnya yang mulai membonjol.

“Saya tak biasa dengan saudara mara awak,” kata Murni.

“Masa inilah awak kena biasakan diri. Pakai baju besar supaya orang tak nampak perut awak tu,” pesan Rais sebelum pergi. Murni tiada pilihan. Dia memilih sehelai baju yang agak besar dan turun menyaingi sanak saudara Rais. Banyak kerja yang sudah siap. Orang berduit tidak perlu bersusah payah. Mereka hanya perlu mengarah saja, fikir Murni.

Saudara mara yang berkunjung pula hanya sekadar memeriahkan suasana. Rais duduk bersembang dengan beberapa lelaki yang agak berusia. Murni duduk bersama-sama dengan kumpulan wanita separuh usia. Murni hanya bercakap apabila ditanya. Rania yang ditemani Rindu dikerumuni oleh beberapa orang perempuan muda.

Murni perasan wajah Rania begitu cantik dan mulus. Masakan tidak, dua orang mak andam dijemput khas ke rumah untuk rawatan muka dan badan Rania.

“Nak berinai kat sini atau dalam bilik?” tanya Puan Sri Zalia pada Rania.

“Kat mana kak?” Tanya Rania pada Rindu. Saudara mara dan kanak-kanak riuh rendah di ruang tamu. Kalau berinai di ruang keluarga itu, tak selesa pula, fikir Rindu.

“Kat biliklah,” putus Rindu kemudian.

“Jom Murni,” ajak Rania. Murni menurut saja sementelah dia juga kurang senang berada di bawah. Mereka bergerak ke atas dengan seorang mak andam bernama Azariah. Masuk saja ke bilik Rania, Murni terkaku. Kamar Rania indah sungguh. Terkulat-kulat Murni memandangnya. Sementara jari jemari Rania diinai Azariah, Murni memerhatikan segenap kamar Rania.

Baru saat itu Murni berpeluang melihatnya. Perabot baru buatan Itali sampai dua hari sudah. Semua serba baru. Terpegun Murni dibuatnya. Katil putih bersaiz ‘King’ padan sungguh dihias dengan cadar berwarna ungu muda. Langsir putih berlapis-lapis mengindahkan lagi kamar yang nampak begitu nyaman dan indah.

“Murni panggil abang Murni kat kampung tak?” Tanya Rania tiba-tiba. Murni yang sedang melamun terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.

“Ajaklah. Nanti apa kata mereka kalau Murni tak undang!” Rania memberi peringatan.

“Ye Murni, ajaklah.”

“Sempat lagi ke?”

“Ajak aje tanda ingatan,”

“Tengoklah macam mana,” sahut Murni. Dia duduk di atas permaidani, bersebelahan Rania. Lincah tangan mak andam membalut jari-jemari Rania dengan inai basah menarik hati Murni. Jari-jemari Rania putih dan runcing. Murni tatap pula muka Rania yang putih mulus. Dagunya berlekuk.

Rania memang gadis yang sangat cantik. Tak hairanlah kalau Abang Qayyum jatuh cinta padanya. Dia baik pada aku tapi aku tetap tak suka pada dia! Murni bermonolog sendirian.

Selesai kerja menginai, mak andam menyuruh Rania duduk diam-diam. Dia pergi dan menyuruh Rania membersihkan inai di jari selepas sejam.

“Akak nak turun tengok budak-budak kejap,” kata Rindu. Tinggal Murni bersama Rania di dalam kamar. Murni bergerak ke jendela. Dia melihat bulan di langit yang kelam. Kosong fikiran Murni saat itu. Dia tidak dapat memikirkan apa-apa kerana masih terkejut menerima berita bahawa Rania akan bernikah dengan Ummar Qayyum dalam masa terdekat. Perutnya dielus lembut. Kerana anak dalam kandungan ini, aku terpaksa menahan hati! Getusnya.

Rania pula memerhatikan gelagat Murni. Wajah Murni resah. Risaukan kandungannya barangkali, fikir Rania namun dia bersyukur kerana Murni mulai diterima di rumah itu walaupun ada ketikanya Murni sering disindir dan diperli oleh ibu dan Makcik Rohaya. Teringat pula Rania akan gulungan tilam di dalam bilik Rais.

Minggu lepas dia perasan tilam itu sudah tidak ada lagi di dalam kamar tersebut. Mudah-mudahan Abang Rais dapat menerima Murni seadanya dan mudah-mudahan Murni dapat menerima ketentuan bahawa jodohku dengan Abang Qayyumnya, fikir Rania. Dia berbual-bual kosong dengan Murni apabila Murni kembali duduk di sebelahnya.

Murni berdiri apabila terdengar ketukan di pintu bilik Rania. Pintu terkuak.
Wajah Puan Sri Zalia tersadai penuh kepuasan. Sebelum mendengar suara sindiran Puan Sri Zalia terhadap dirinya, Murni meminta diri untuk kembali ke biliknya. Puan Sri Zalia tutup pintu kamar.

“Tak basuh inai lagi?” Tanya Puan Sri Zalia. Baru Rania teringat. Segera dia masuk ke bilik mandi dan membersihkan balutan inai di jarinya. Jari-jemarinya yang putih dan runcing kelihatan berseri dengan inai merah menyala.

“Cuba sarung cincin yang Qayyum beli tu,” arah Puan Sri Zalia. Sebaik saja tersarung cincin bertatah berlian di jari� Rania, perasaannya jadi gementar mendadak.

“Mama....Ren berdebar-debarlah,”

“Memanglah!” Sahut Puan Sri Zalia lembut. “Cantik cincin ni di jari Ren,”
pujinya lagi.

“Terima kasih mama,”

“Alhamdulillah. Semua dah selesai dan berjalan lancar setakat ni,” Puan Sri Zalia memberi laporan.

“Syukur ye mama. Tak sangka dalam seminggu semuanya okey,”

“Yelah...mama gembira sangat-sangat. InsyaAllah tercapai impian mama nak tengok Ren kahwin dengan Qayyum.” Puan Sri Zalia bertatapan dengan anak gadisnya. Dia kagum dengan kecantikan anugerah Allah pada anak gadisnya itu.

“Mama indahnya saat ni. Ren tak pernah sangka Ren akan gembira kahwin cara ni.
Ringkas, mudah dan cepat. Ren bahagia sangat. Terima kasih kerana menyokong keputusan kami.” Di dada ibunya, Rania labuhkan wajah. Tak henti-henti mulutnya melafazkan syukur.

“Mama pun happy sangat. Tak sangkakan nikah cara macam ni lagi seronok.”

“Tulah....”

“Mama doakan Ren akan jadi isteri yang terbaik buat Qayyum, jadi ibu yang hebat untuk anak-anak Ren. Mama bangga jadi ibu Ren...mama bangga dapat anak yang berhati mulia macam Ren.”

“Ren pun sama tapi boleh tak kalau ...Ren nak minta sesuatu?” Puan Sri Zalia pegang bahu Rania lantas muka anak gadisnya direnung. “Apa dia?”

“Lepas ni boleh tak mama berbaik-baik dengan Murni...sian dia!” rayu Rania.
Lebaran senyuman Puan Sri Zalia melapangkan dada Rania.

“InsyaAllah...”

Sekali lagi ketukan kedengaran. Rania membuka pintu kamar. Mak cik Rohaya tersengih-sengih dengan rupa orang bersalah. Rania tarik tangan pembantu rumah yang disayangi itu.

“Mak cik nak ucap tahniah. Mak cik nak jadi orang paling awal ucap tahniah.”
Ayat itu kedengaran begitu syahdu dan tulus. Perempuan tua itu dipeluk Rania.

“Makcik gembira sangat-sangat,” ujarnya lagi. Air mata gembiranya bergenang.

“Ren tahu. Terima kasih kerana mendoakan Ren. Ren ingat kata-kata mak cik. Allah Kabul doa mak cik.”

“Mak cik akan teruskan doa untuk Ren. Semoga pernikahan dan perkahwinan Ren dengan Qayyum sentiasa dalam keadaan bahagia, dan dipelihara Allah sampai bila-bila,”

“Terima kasih mak cik....sayang mak cik,”

“Ren kena tidur awal. Jangan berjaga lewat malam. Nanti kurang seri masa nikah nanti,” Puan Sri Zalia memberi ingatan sebelum dia bersama pembantu rumah meninggalkan Rania bersendirian di kamar.

“Baik mama. Selamat malam,” ucap Rania. Dilakukan solat sunat syukur dua rakaat sebelum dia menarik selimut. Baru saja mata hendak dipejam, telefonnya berbunyi.

“Assalamualaikum tunang,” suara Ummar Qayyum membuatkan matanya terbuka besar.
Dia tersenyum seketika. Tiga hari mereka berjanji untuk tidak berjumpa dan berhubungan walaupun menerusi telefon bimbit.

“Waalaikumsalam, kata tak nak berhubung,”

“Memang pun...tapi I berdebar menunggu esok,”

“I pun...”

“Tak sabar nak tengok you esok,”

Rania diam. Dari kamarnya dia dapat melihat langit yang dihiasi bulan.

“Sayang sangat pada you Rini,” bisik Ummar Qayyum. Rania terkedu. Lama benar panggilan Rini tidak didengar. Rania menghela nafas.

“Terima kasih kerana bersetuju untuk bernikah dan menemani I balik ke Sweden. I sangat-sangat hargai.”

“Terima kasih kerana sudi lamar I jadi suri hidup you,” sahut Rania perlahan.
Perasaannya tiba-tiba jadi pilu dan hiba. Tidak sangka segala aral nan melintang yang pernah dilalui mereka akhirnya dapat mereka tepis bersama-sama.

“Looking forward to be your hubby!”

Rania tersengih sedang air matanya mulai bergenang.

“Jaga diri baik-baik ya sayang,” lunak suara Ummar Qayyum mendamaikan perasaannya.

“InsyaAllah abang Qum Qum,”

Ummar Qayyum tergelak.

“Kantoi romantik bila you sebut Qum Qum.” Tawa Rania kedengaran.

“Tidur awal malam ni tau. Jumpa sayang esok!”

“Okey,”

“Assalamualaikum sayang,”

“Waalaikum salam,”

Rania tarik selimut. Tubuhnya sudah di bawah selimut. Tangan kanannya diangkat. Rania perhatikan jari-jemarinya yang merah berinai. Sebentuk cincin indah gemerlapan tersarung di jari manisnya. Dikucupnya cincin berlian yang bertenggek di jari manisnya yang runcing. Dadanya berdebar-debar. Aku bakal akan jadi isteri!

Esoknya, Rania teresak tatkala telinganya menangkap lafaz senafas dari mulut Ummar Qayyum “Aku terima nikahnya Rania binti Razlan dengan mas kahwin sebanyak RM300 tunai. “Ya Allah...terima kasih atas cinta ini!” bisiknya. Setitis air mata kesyukuran meleleh di pipi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ukraine Investment Company

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 

site analysis
Design by MFR Studio | Edited by fakhrurrozi - MFR | Company